Wednesday, June 8, 2011

hikayat si kucing berbulu putih: episod pencarian

episod kedua:

irama melodi malam itu dicemari dengan bunyi yang asing. bunyi dua pasang kaki yang berlari tanpa arah tuju. si kucing berbulu putih tahu yang dia harus mencari cahaya, namun ke mana? kegelapan malam ternyata telah membutakan mata arahnya. dia sendiri tidak tahu, adakah dia makin hampir atau makin jauh dari rumah yang besar itu. adakah dia akan pulang atau dia akan tersesat selamanya? dan si kucing berbulu putih terus berlari.

dia menyesal. menyesal kerana terpesona dengan kucing kuning. menyesal kerana keluar dari rumah itu. menyesal kerana terlupa akan malam yang menjelang. dia berasa marah, namun pada siapa? pada si kucing kuning? bukan salahnya, dia hanya berada di luar rumah bermain-main. pada malam yang menjelang? sudah ketentuan Tuhan bahawa selepas siang, ada malam dan selepas malam, ada siang. pada Tuhan? kerana Dia menciptakan si kucing kuning dan malam? apakah dia patut memarahi Tuhan? Tuhan yang sama yang menciptakannya, yang mencantikkannya, yang memberinya kekuatan dan pilihan. dan pilihan? ya, dia punya pilihan. si kucing berbulu putih punya pilihan. dan dia telah tersalah pilih. langkah kakinya terhenti. 

"ya, Tuhan telah memberiku pilihan dan aku telahpun menerima akibat pilihanku."

"Tuhanku yang menciptakanku. jika Dia punya kuasa untuk menciptakanku, pasti Dia dapat menunjukkan kepadaku jalan."

" tetapi aku malu. malu meminta padaNya. dan adakah Dia akan menolongku jika aku memohon kepadaNya sedang aku telah mensia-siakan kurniaanNya?"

diam. senyap. sunyi. tiada lagi suara unggas atau katak. tiba-tiba, segalanya seakan-akan hilang. seperti hilangnya secebis harapan si kucing berbulu putih pada jalan pulang. api harapan yang sebelum ini menghangatkan penjalanannya padam. dan si kucing berbulu putih berasa kesejukan. sejuk kerana api harapan yang hilang. kerana tiada lagi yang dapat menahan dingin angin malam. tiada lagi yang dapat menghangatkannya.

"Tuhanmu maha pemaaf."

si kucing berbulu putih tersentak. 

"Tuhanmu maha pengampun, maha pemaaf."

dia mencari-cari di mana suara itu.

"Tuhanmu maha pengampun, maha pemaf. mohonlah keampunan Tuhanmu. jangan engkau malu pada Tuhanmu dalam memohon."

melodi malam itu bersambung kembali, seakan-akan sebelum ini ada seseorang yang menekan butang 'berhenti sejenak'. namun di sebalik melodi itu, kedengaran rintihan dan rayuan penyesalan dan pengharapan. si kucing berbulu putih berdoa pada Tuhannya. dia sedar, bukanlah cahaya yang patut dicarinya. cahaya juga sama sepertinya. cahaya juga diciptakan oleh Sang Pencipta. destinasinya yang sebenar bukanlah cahaya, tetapi Tuhan. 

dan dari kejauhan, kelihatan beberapa cahaya malap yang berterbangan.



bersambung...


1 comment:

Diana Zainal said...

:) - Agak comel gak arr citer ni. A good new perspective. Teruskan usaha. :)