Friday, June 3, 2011

hikayat si kucing berbulu putih

akan ber'offline' selama beberapa hari. sebelum itu, biarlah lembaran hikayat ini bercerita. cerita pengubat hati penawar duka. cerita seekor kucing berbulu putih.
__________________________________________________________________________________



ini adalah kisah seekor kucing berbulu putih. putih susu. putihnya diwarisi dari ibu bapanya. bak kata kucing tetua, 'jika tidak kerana bapa, takkan kusentuh tikus malang itu'. putihnya tiada cacat cela. tiada tompok, tiada belang, yang ada hanya warna yang tak tercemar. ini adalah kisah kucing berbulu putih.

kucing itu tinggal di sebuah rumah yang besar. di sebuah rumah yang cantik. di sebuah rumah yang bersih. dia senang tinggal di situ. segala macam keperluan dan keinginannya dia dapat. tiada pula dengusan atau keluhan tanda tidak puas hati. dia senang tinggal di rumah yang besar itu. walaupun rumah itu besar, namun penghuninya sedikit. dua tiga buah keluarga kucing. oh, dan sepasang manusia, si penjaga kucing-kucing di rumah itu. walaupun kucing berbulu putih itu jarang berjumpa dengan si penjaga, dia tahu bahawa dia dimiliki. dia bukan seekor kucing jalanan.

pada suatu hari, kucing berbulu putih ternampak seekor kucing berwarna kuning. si kucing kuning itu sedang bermain-main di luar rumah si kucing berbulu putih. tatkala melihat gelagat si kuning, kucing berbulu putih berasa terpesona. lalu timbul keinginan untuk bermain-main dengan kucing kuning itu. dan kucing berbulu putih itupun keluar rumah lalu bertentang muka dengan si kucing kuning. dan mereka bermain-main. dan bergelak ketawa. bergurau senda. bersuka-suka.

lalu senjapun datang. si kucing berbulu putih terlalu leka dengan main-mainnya. dan tiba-tiba dia tersedar. tersedar apabila bayang-bayang kelihatan seperti ditelan kegelapan. apabila sang mentari tidak kelihatan lagi. cahaya siang seolah-olah ingin melarikan diri dari mata yang melihat. si kucing berbulu putih mula berasa panik. kegelapan malam menyebabkan dia tidak dapat melihat kakinya. dia rasa seolah-olah dunia telah meninggalkannya. dan dia bingung. takut. dia sedar, kegelapan bermakna bahaya. dia harus segera keluar. keluar dari kegelapan. namun ke mana?

dan dia teringat pada rumah yang besar, yang cantik, yang bersih. pada rumah yang dipenuhi cahaya. ah, betapa dia benar-benar perlukan cahaya sekarang! sebelum ini, tidak pula dia terfikir tentang cahaya. sebelum ini, tidak pernah dia menghargai sesuatu yang memeluknya, yang menghangatkannya, yang menenangkannya. 

cahaya itu selamat. 
gelap itu bahaya. 

dia harus mencari cahaya.


"aku harus mencari cahaya".

dan kaki yang sebelumnya menggeletar kini dipasakkan ke bumi. destinasi: cahaya! 


__________________________________________________________________________________

bersambung...
kawaiiiiiii