Monday, December 6, 2010

uhud - satu konklusi

- (iaitu) orang-orang yang mentaati (perintah) Allah dan rasul setelah mereka mendapat luka (dalam perang uhud). orang-orang yang berbuat kebajikan dan bertakwa di antara mereka untuk mereka pahala yang besar. (iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan rasul) yang ketika ada orang yang mengatakan kepadanya, "orang-orang (quraisy) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka", ternyata (ucapan) itu menambah (kuat) iman mereka dan mereka menjawab, "cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung". maka mereka kembali dengan nikmat dan kurnia dari Allah, mereka tidak ditimpa suatu bencana dan mereka mengikut keridhaan Allah. dan Allah mempunyai kurnia yang besar.-

di saat tentera islam baru sahaja pulang dari medan uhud, berlaku kekecohan, bahawa tentera musyrikin makkah berpatah balik ingin menyerang madinah. lalu, datanglah perintah rasulullah, "hanya yang pergi berperang di uhud sahaja yang boleh turut serta". hanya yang telah merasa perit kekalahan, yang luka-luka masih belum sembuh yang dibenarkan pergi. lalu, datanglah tentera dalam keadaan penuh luka dan penat. askar-askar yang merasai peritnya akibat terpedaya dengan harta dunia dan melanggar perintah rasul, kini keluar dengan satu tujuan sahaja. bukan lagi kerana harta, bukan lagi kerana kemasyhuran. mereka keluar kerana islam.

di saat tentera musyrikin masih berselisih, adakah hendak dibantai sahaja madinah, atau terus pulang. fikir mereka, madinah sudah tiada penjaga, jika dibiarkan, sudah tentu muhammad akan cuba membesarkan pengaruhnya sekali lagi. lalu, tersebarlah berita bahawa tentera islam hendak keluar memburu mereka. tentera yang sebelum ini ditimpa kekalahan pula sedang mengejar mereka. tentera yang mendapat luka-luka pula yang hendak memulakan kembali pertempuran. lalu, Allah datangkan ke dalam hati mereka ketakutan, hilang segala idea ingin menghancurkan madinah, dan mereka terus lari berundur ke arah makkah.

secara teknikalnya, uhud tidak memenangkan tentera islam, mahupun tentera musyrikin. namun, bagi orang-orang yang beriman, untuk mereka ganjaran yang besar dan keimanan yang bertambah. tidaklah sama orang yang beriman dengan orang yang kafir, orang yang beriman mendapat pengajaran yang berguna dari peperangan itu. hanya orang yang beriman yang mendapat pengajaran dari uhud.