Sunday, December 5, 2010

uhud - satu refleksi

Bismillahirrahmanirrahim.

-sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan penggantian siang dan malam terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi 'ulul-albab'. (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk atau berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (sambil berkata), "ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, maha suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka".-

peristiwa uhud memberi banyak pengajaran kepada kita. di saat islam mula dikenali masyarakat arab, di saat orang islam masih dibuai kenangan indah 'badar', Allah menguji mereka sekali lagi. setelah masyarakat musyrikin makkah ditimpa musibah hasil kesombongan mereka, dan orang islam merasa selesa, Allah menterbalikkan keadaan mereka. sungguh, hanya Allah sahaja sebaik-baik perancang.

di kala seribu tentera islam melihat angkatan yang tiga kali ganda besarnya, muncullah abdullah bin ubai, dengan percubaannya untuk melemahkan hati orang islam. tiga ratus orang meninggalkan uhud. jumlah tentera islam dikurangkan kepada dua pertiga. di situlah orang islam sedar, musuh mereka bukan sahaja yang tinggal di luar madinah. musuh mereka sedang makan, minum dan tinggal bersama-sama mereka. Allah menyingkap tabir yang selama ini tersembunyi dari mata orang islam. jika tidak kerana uhud, tiada siapa yang tahu bahawa ada orang yang selama ini disangka teman, tetapi berusaha menjatuhkan islam dari dalam.
-dan apa yang menimpa kamu ketika terjadi pertemuan antara dua pasukan itu (pertempuran uhud), adalah dengan izin Allah, dan agar Allah mengetahui siapa orang (yang benar-benar) beriman. dan untuk mengetahui siapa orang-orang yang munafik...-

lalu kedua-dua pasukan bertemu. yang satunya berjuang kerana maruah dan dendam. yang satu lagi demi Allah. dan dalam pasukan yang kedua itu ada yang berperang kerana harta dunia. dan ketika salah satu pasukan hampir sudah pasti menang, diperlihatkan kepada mereka akan harta dunia. lalu, masing-masing terpisah mengikut tujuan mereka. pada saat itulah, ditimpa kepada orang islam kekalahan yang memalukan.
-dan sungguh, Allah telah memenuhi janjiNya kepada kamu, ketika kamu membunuhnya dengan izinNya sampai saat kamu lemah dan berselisih dalam urusan itu dan mengabaikan perintah rasul setelah Allah memperlihatkan kepadamu apa yang kamu sukai. di antara kamu ada orang yang mengkehendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang mengkehendaki akhirat. kemudian Allah memalingkan kamu daripada mereka untuk mengujimu, tetapi dia benar-benar telah memaafkan kamu. dan Allah mempunyai kurnia ke atas orang-orang yang beriman.-

maka larilah sebahagian dari orang islam dari medan perang. ada yang mendaki bukit, malah ada yang sampai ke rumah ketakutan. sedang rasulullah masih lagi berperang. namun, di kala ramai yang berpaling, tetap akan ada sebilangan yang masih tetap dengan janji Allah. tujuh orang ansar syahid di sisi rasulullah, talhah terputus jari-jari tangannya dan saad bin abi waqqas sudah kepenatan melindungi kekasihnya. di kala itu, datanglah bantuan dari sahabat yang berada di hadapan. abu bakar dan abu ubaidah meluru datang kepada nabi. kemudian, datanglah abu dujanah, ali, umar dan sahabat-sahabat yang lain melindungi nabi. maka, selamatlah nabi dari ancaman orang kafir.

-dan jangan sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, sebenarnya mereka itu hidup, di sisi tuhannya mereka mendapat rezeki.-
gugurnya hamzah, bapa saudara nabi, bukannya secara berdepan, tetapi dengan cara dibunuhnya seorang pahlawan yang tidak akan kalah bertarung. gugurnya mus'ab ketika masih memegang panji islam, tidak dilepas walaupun setelah terputus tangannya. gugurnya hanzalah, walaupun masih berjunub, akhirnya jenazahnya dimandikan malaikat. bagi mereka, tiada lagi kesedihan dan kesusahan. bagi mereka, ganjaran syurga yang sudah pasti.

tamatlah sudah peperangan uhud. orang islam ditimpa kekalahan atas kesilapan mereka sendiri. namun, mereka mendapat satu pengajaran yang sangat perit untuk mereka. bahawa islam tidak menjamin mereka akan berada di atas selamanya. bahawa kecelakaan itu datang kerana diri mereka, bukan dari sesiapa. dan pengajaran itu mereka semat dalam diri mereka. bahawa tiada lagi kekalahan buat orang islam selepas itu. jika ada, ianya kerana kesilapan orang islam sendiri.

perancangan Allah tiada siapa yang tahu. hamba yang membunuh hamzah lah yang melontar lembing ke arah musailamah si penipu, bersama-sama abu dujanah membunuh kepala nabi palsu di yamamah. abu sufyan dan isterinya, hindun, merekalah antara saksi perang yarmuk ketika menentang askar rom. ikrimah, anak abu jahal, merempuh angkatan rom sehingga dia dan yang lain syahid di medan perang. khalid al-walid, antara pakar strategi yang menjadi punca kekalahan umat islam, dialah pedang Allah yang terhunus. tiada istilah kalah bagi pedang Allah, kerana telah ditakdirkan bahawa tiada suatu pedang yang dapat mematahkan pedang Allah. logam-logam yang sebelum ini ditimbus karat jahiliyyah, tidak berkarat apabila direndam dalam cahaya islam. malah bersinar lebih terang di dalam hidayah Allah.

uhud merupakan satu pengajaran, bahawa islam bukanlah sekadar kata-kata, islam tidak akan naik hanya dengan lafaz syahadah atau ibadah semata-mata, dan islam bukanlah pada nama atau gelaran sahaja. islam yang sebenar menuntut pengorbanan yang hanya boleh dilaksanakan oleh yang ikhlas semata-mata.

-wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap-sedia dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung.-

No comments: