Wednesday, January 19, 2011

reviving the lost rythm (yg betul punyer)

sejarah umpama satu koleksi lagu. ada lagu yang menarik, ada yang tidak. ada lagu yang disukai, ada lagu yang dibenci. bagi seorang pencipta seni, lagu terbaiklah yang dipilihnya. bagi orang yang beriman, yang terbaiklah yang diimpikannya.

sejarah adalah perkara yang lalu. kini, tiada lagi rasulullah. tiada lagi para sahabat. tiada lagi umayyah. tiada lagi abbasiyyah. tiada lagi turki uthmaniyyah. tiada lagi umar, khalid, salahuddin mahupun muhammad al-fateh. mereka sudahpun pergi menemui sang pencipta. namun, mereka tidak pergi sebelum meninggalkan satu titik dalam sejarah kegemilangan islam. mereka umpama bintang di kalangan seniman. lagu yang dikarang mereka merupakan lagu-lagu terbaik yang berada dalam koleksi sejarah.

seorang pengkaji seni pasti akan tertarik untuk mengetahui apakah rahsia-rahsia yang menjadikan sesebuah karya begitu menarik. bagaimana tamadun islam yang dibawa oleh seorang yang tidak tahu membaca tiba-tiba menguasai sepertiga dunia? apakah istimewanya lagu yang dibawa oleh pesuruh Allah ini? apakah yang telah menarik ramai orang untuk mendengar seni yang datang dari padang pasir ini?

jika islam adalah sebuah lagu, ianya adalah lagu yang terbaik. jika ia adalah sebuah permata, ianya permata yang termahal. jika ia sebuah lautan, ianya lautan yang luas dan subur dengan pelbagai khazanah. kerana di dalamnya, ada ritma-ritma yang menjadi asas kepada kegemilangan islam suatu masa dahulu. ritma-ritma yang telah diajarkan kepada seluruh manusia melalui pesuruh Allah. yang disampaikan melalui jalan dakwah dan jihad. yang kini telah hilang dari umat islam.

"... itulah umat-umat terdahulu. bagi mereka apa yang telah mereka lakukan, dan bagi kamu apa yang kamu lakukan. dan kamu tidak akan ditanya tentang apa yang mereka kerjakan."

sejarah akan tetap terukir selagi adanya manusia. ukiran ini akan kekal dan kita ditanya di akhirat kelak tentang ukiran kita. seniman pada zaman dahulu tidak mungkin akan hidup kembali untuk menolong kita. sebaliknya, kitalah sahaja yang dapat menolong diri kita. nota-nota lagu yang ditinggalkan oleh seniman zaman dahulu haruslah dilihat kembali. hayatilah ritma-ritma yang membayangi karya-karya di zaman mereka. tidak mustahil untuk lagu-lagu yang kita cipta menjadi sebaik zaman rasulullah dan sahabat. tidak mustahil untuk nama kita tercatat sebagai seniman agung dalam catatan sejarah. bukankah kita ingin menjumpai sang pencipta dengan bekalan yang terbaik?

No comments: