Monday, April 18, 2011

Tomorrow will be a bright day

mentari kian melabuhkan tirainya. senja menjelang, mega merah mula keluar. sang pungguk mula menyanyikan lagu kerinduannya. cengkerik, dan katak, dan haiwan-haiwan malam bersedia untuk berokestra di pinggiran tasik. dan si burung hudhud tahu apa yang dia perlu lakukan sekarang.

si burung hudhud, yang telah terbang ke barat dan ke timur, ke utara dan ke selatan, di siang hari, kini terbang pulang. pulangnya setelah dia melaksanakan tugasnya. tugas yang mulia, yang diamanahkan oleh raja sulaiman. dan tugas itu dia laksanakan dengan ikhlas, bukan dengan paksaan, bukan pula dengan lengah. tugas itu dilaksanakan kerana mengharapkan redha sang pencipta. dan kini, dia pulang setelah melaksanakan tugasnya.

si burung hudhud, jelas kelihatan pada tubuhnya kepenatan. sayapnya tampak lusuh. mana tidaknya, ribut taufan diredahinya, angin debu tidak pula memperlahankannya, lastikan si budak-budak nakal yang mengenai sayapnya, terasa sakitnya, dia tidak menyumpah mereka, dia mendoakan mereka dan dia meneruskan perjalanannya. jelas tampak keletihan pada dirinya. dan kini, dia sedang pulang.

dan dia pula ke sarangnya. dan di sana, dia berkumpul bersama keluarganya, rakan-rakannya, guru-gurunya. dan keletihan mula hilang. dan kesakitan mula hilang. dan kegembiraan mula tumbuh. dan bara semangat menjadi api yang menghangatkan malam itu. dan si burung hudhud bersedia untuk hari esok. sayapnya yang dahulunya lusuh, kini kembali bersinar. dan mentari mula bangkit. sinarnya seakan semboyan tanda tiba waktunya.

si burung hudhud, keluar dari sarangnya, melaksanakan tugasnya yang mulia, yang diamanahkan oleh raja sulaiman, dia keluar dan dengan izin sang pencipta, dia akan pulang di senja hari. dan esoknya, dia akan keluar lagi dan lagi, sehingga sang pencipta memanggilnya kelak. 

No comments: