Sunday, July 24, 2011

Malapnya cahaya kunang-kunang itu

dunia hari ini amat perlu pada islam.
seperti planet yang berputar pada orbitnya, jika satu dari planet itu keluar dari apa yang telah ditetapkan oleh sang pencipta, nescaya seluruh planet akan berlanggar sesama sendiri. begitu juga manusia yang lari dari orbitnya yang sebenar, lalu dia mengikut orbit ciptaan syaitan, atau dia mencipta orbitnya sendiri hasil tunjuk ajar nafsu, lalu pergerakannya akan merosakkan alam yang sentiasa beredar dalam orbit ciptaan tuhannya.

berapa lama lagikah agaknya dunia ini harus menderita akibat perbuataan tangan-tangan manusia keji yang lari dari lingkungan kehambaan pada Allah? manusia-manusia itu menyangka bahawa agama adalah suatu kandang ciptaan sang raja dan pendeta untuk mengurung mereka. mereka sangka dengan keluar dari kandang itu, mereka akan bebas. namun, tanpa mereka sedar, mereka telah mencipta kandang-kandang baru semata-mata untuk menyelamatkan mereka dari kegelapan. tanpa mereka sedar, mereka telah mencipta kandang baru di sekeliling sarang serigala.

islam bukanlah hanya sekadar agama semata-mata. islam bukanlah ciptaan sang raja atau pembesar arab dahulu kala. malah islam bukan dicipta oleh muhammad. islam itu dari Allah, sang pencipta manusia dan alam seluruhnya. islam datang seperti cahaya yang datang menerangi di waktu kegelapan menyelimuti tubuh setiap manusia.
mana mungkin sama sinar mentari dengan cahaya malap kunang-kunang? jika begitu, ketahuilah bahawa sinar islam itu lebih terang dan lebih tenang dari sinar mentari sedang segala idea-idea, teori-teori dan -isme ciptaan manusia lebih malap dan lebih rapuh dari sayap kunang-kunang.

dunia hari ini sedang menanti. menanti satu cahaya yang sebelum ini pernah menerangi segenap alam. tutuplah mata fisik buat seketika. dengarlah suara merdu rayuan unggas-unggas, burung-burung, haiwan jinak dan liar. dengarlah deruan angin, ombak, gunung dan tumbuhan. hayatilah sahutan mentari, bulan, planet dan bintang. semuanya menunggu cahaya islam yang akan pasti datang.

No comments: