Tuesday, July 19, 2011

Open your eyes

"apabila insan melihat dunia dari dimensi akhirat"

mungkin sudah ramai yang telah mendengar frasa ini. mungkin sudah ramai yang faham maksud frasa ini. mungkin sudah ramai yang menghayati keindahan makna frasa ini. kerana perkataan 'mungkin' itulah frasa ini ditimbulkan kembali.

mata.
jika hendak diperjelaskan oleh kaedah saintifik, boleh ditulis sebuah buku semata-mata untuk menerangkan bagaimana kita dapat melihat. namun, benarkah segala macam penerangan itu? kerana tidak sama apa yang dilihat oleh dua orang yang berbeza. sedang pria-pria berbalahan menentukan siapa cewek tercantik, adakah perbezaan tersebut ada penjelasan saintifiknya?
sebenarnya, kita boleh melihat bukan kerana kita punya mata, atau kerana cahaya yang menembusi kanta mata kita, atau kerana sel-sel optik yang menghantar cas-cas elektrik ke otak kita. kita boleh melihat kerana Allah yang menjadikan kita boleh melihat. jika Dia mahu, boleh sahaja Dia menjadikan kita tidak boleh melihat. lalu, tanyalah pada diri kita, kepada siapakah kita mahu tunduk patuh? kepada sainskah atau kepada Allah sang pencipta ilmu dan pena?

cukuplah dengan perbicaraan tentang mata fizikal. apa yang ingin dibincangkan di sini adalah mata yang satu lagi.


mata hati.
pernahkah kita pejamkan mata fisik kita sejenak, dan kita berfikir tentang diri kita, tentang apa yang ada di sekeliling kita. adakah kita mampu melihat hikmah yang sebelumnya terlindung oleh data-data yang datang dari mata fisik kita. bukanlah bererti mata fisik ini jahat dan tidak berguna, namun dek kerana hati kita, yang dihasut syaitan dan nafsu jahatlah, yang mengabaikan nasihat iman dan akal, yang menutup mata hati lalu kerana tidak mahu meraba-raba dalam kegelapan yang dibuatnya sendiri, mata fisik itulah yang menjadi ganti. dan kini, bukalah mata hati kita demi melihat hikmah itu. jika ini kali pertama, sudah pasti cahaya hikmah itu akan menyilaukan mata hati kita. namun, setelah beberapa lama, cahaya yang menyilaukan tadi akan menghangatkan hati yang kesejukan, menenangkan jiwa yang gundah gulana dan menghalau kegelapan jahiliyyah.

kemudian, bukalah pula mata fisik kita. dan lihatlah dunia dari dimensi akhirat. dunia yang sebelum ini terasa indah, adakah masih sama seperti dahulu? dunia yang sebelum ini kita kejar sehingga kita lupa pada akhirat, adakah kita masih mahukannya? akhirat yang sebelum ini kita lupa, adakah suaranya yang merdu kita dapat dengar? akhirat yang sebelum ini kita lari, pusingkanlah badan kita ke arahnya dan berlarilah selaju-lajunya.

apabila insan melihat dunia dari dimensi akhirat, dunia terasa kecil, sangat kecil. mana mungkin seekor semut yang bijak akan menukar segunung gula yang ada padanya dengan sebutir gula di tangan seorang manusia?

apabila insan melihat dunia dari dimensi akhirat, dia akan berlari-lari mengejar cintanya. dan insyaAllah, dengan izin sang pencipta, dia akan beroleh apa yang diimpikannya. lalu, sang perempuan tua hodoh terhegeh-hegeh mengejar sang pemuda impian.

No comments: