Thursday, July 7, 2011

Pendakian

ini adalah kisah sebuah pendakian.

mereka yang menjadi watak dalam kisah ini ada bermacam.
ada yang belum lagi melangkah sudah mengalah.
ada yang beberapa derap kaki sudah lelah.
tidak ramai yang tidak mahu kalah.

pendakian pada mulanya melalui denai yang landai.
ada yang bermula agak pantas.
berlari-lari anak, seakan mahu berada di hadapan.
ada pula yang bergerak perlahan-lahan.
mahu menyimpan tenaga dalam badan.
agar nanti tidak keletihan.

ada pula yang sambil menyelam minum air.
menikmati panorama alam ciptaan tuhan.
bak kata orang tua-tua, takkan lari gunung dikejar.

pendakian yang santai bertukar curam.
semakin banyak halangan yang mendatang.
mengejutkan kebanyakan yang tiada persediaan.
dan sedikit pula yang membuat persediaan.

ada yang sudah putus tenaga.
sebelumnya senaman makan minum tak dijaga.
stamina tiada.

ada yang berhenti rehat sebentar.
dibuka beg galas kesukaannya.
diambil bar tenaga dan air 'seratus tambah' nya
rupanya dari awal lagi sudah bersedia.
itulah resepi orang berjaya.

separuh perjalanan, ramai yang sudah putus asa.
letih, penat, lelah, mengah.
ada yang cedera.
ada yang sahaja-sahaja.

pendakian masih jauh.
puncak yang dituju masih dilindungi kabus.
dan mereka yang masih belum mahu mengalah.
masih terdengar derap langkah kaki bakal juara.

ada yang laju langkahnya.
laksana kilat menerkam bumi.
ada yang perlahan langkahnya.
bak kura-kura dalam hikayat.
ada yang tersusun langkahnya.
tak terlalu laju sehingga termengah-mengah.
tak pula terlalu perlahan ketinggalan.
ada yang penat.
tidak lagi mampu meneruskan.
namun ada juga yang walau tenaga sudah tiada,
semangat yang ada bagai bateri yang kedua.

pendakian yang sukar sudah hampir ke penghujung.
kabus yang tebal semakin menghilang.
puncak yang sebelumnya terselindung,
mengalu-alukan kedatangan sang juara.

sang juara adalah
mereka yang tidak mengalah.
mereka yang tidak berpaling.
mereka yang tidak berputus asa.

tidak semestinya sang juara adalah mereka yang pertama.
walau manisnya lebih pada yang pertama.
tetapi sang juara adalah mereka yang
mengharungi segala onak duri
batu-batu tajam
cerun landai dan curam
kesejukan dan kabus tebal
dan sampai ke puncak.
merekalah sang juara!

ini adalah kisah sebuah pendakian.

No comments: