Wednesday, August 31, 2011

#53 Erti Sebuah Kemerdekaan

mungkin ramai yang tidak sedar, mungkin ramai yang tidak pasti, mungkin ramai yang tidak tahu apakah erti sebuah kemerdekaan. mungkin mereka mampu menjawab dengan tepat jika ditanya tentang tarikh, peristiwa atau tokoh. mungkin jika disuruh mendefinisikan apa itu kemerdekaan, mereka mampu memberi jawapan yang skema dan berbunga-bunga ayatnya. namun apakah mereka mampu menghayati apakah erti perkataan yang sering dilaung-laungkan itu?

sejarah mengajar kita, tanah nusantara ini pernah suatu masa dahulu dijajah. dijajah oleh satu kuasa yang mana dengan kekuatan samada dari segi teknologi, ketenteraan mahupun ilmu tipu muslihat jauh mengatasi rakyat peribumi. dan kita kehilangan berbagai perkara; hak untuk beragama, hak untuk hidup aman sejahtera, hak untuk menikmati hasil bumi sendiri selayaknya, hak untuk berasa bangga dengan sebuah nama, hak untuk berada di bawah undang-undang yang sempurna. dan mereka yang sedar bahawa perkara-perkara yang hilang ini, walaupun mereka masih lagi manusia yang hidup, mereka tidak dapat hidup sebagai manusia selayaknya. lalu mereka bangun berjuang, samada dengan senjata, samada dengan pena, mahupun kata-kata dan ilmu yang ada. dan akhirnya setelah berpuluh-puluh generasi, bumi yang dahulu dijajah kini bebas kembali. dan perkataan 'merdeka' diangkat sebagai tanda kesyukuran dan penghargaan.

dan itulah sejarah bagi sebuah perkataan. sepatutnya laungan kalimat ini akan melahirkan rasa gembira dan bangga di samping berterima kasih pada mereka yang telah berjasa. namun, apakah perasaan ini masih lagi terlahir, dan apakah perasaan ini sama dengan sewaktu pertama kali perkataan itu dilaungkan? jika masih sama, mungkin orang itu telah mengalami atau merasai dua waktu yang berbeza. kerana itulah perkataan itu mampu dilaungkan dengan sepenuh perasaan. rasa cinta, gembira, bangga, syukur dan berterima kasih.

lalu, bagaimanakah pula dengan hari ini? ramai yang tidak mampu melahirkan perasaan yang serupa. walaupun sudah pasti mereka tidak mahu dijajah semula semata-mata untuk merasai perasaan itu, kerana mereka tidak hidup di waktu itu. atau benarkah begitu?

tanyalah pada diri kita, adakah kita sedang hidup sebagai seorang manusia? adakah ada sesuatu yang kita rasa hilang? apakah yang kita buat apabila kita sedar akan kehilangan itu? berapa banyakkah titisan darah, peluh dan air mata yang telah kita curahkan?
tanyalah juga pada diri kita, adakah kita sudah atau masih belum merdeka?

mungkin perasaan yang lahir dalam hati kita tidak sama dengan apa yang ada dalam hati mereka yang mendengar laungan yang pertama. namun, bukankah suatu keperluan untuk kita mempunyai erti bagi sebuah kemerdekaan?

No comments: