Monday, September 26, 2011

Coklat Cadbury

kerana komitmen itu sangat berat tanpa motivasi. tanpa dorongan dan sokongan, hati manusia mana mungkin tahan melakukan sesuatu yang nafsu tidak suka. lagilah tidak tahan jika apa yang dilakukan hasilnya tidak nampak di mata atau hanya boleh dipetik selepas satu masa yang panjang. kita tidak boleh menafikan bahawa manusia adalah manusia. manusia bukanlah robot yang boleh menjalankan rutin yang sama berulang-ulang kali, yang tidak memerlukan hiburan dan tidak punya buah fikiran. manusia adalah makhluk yang punya rasa bosan, rasa ingin melakukan sesuatu dan menikmati hasilnya dan daya fikir.

kerana itulah banyak ayat Allah yang membicarakan tentang syurga. bukan untuk manusia berbahas samada syurga itu wujud atau tidak. syurga adalah motivasi bagi orang yang beriman. siapa yang tidak mahu sebuah mahligai yang dibuat dari emas. siapa yang tidak mahu taman-taman yang di bawahnya ada sungai-sungai, yang pokoknya rendang teduh, yang buahnya rendah dipetik dan sedap-sedap belaka. siapa yang tidak mahu bidadari yang suci. siapa yang tidak mahu duduk bersama pasangannya di atas dipan-dipan (?) dengan aman dan selesa. siapa yang tidak mahu semua itu?

kerana manusia adalah manusia. lalu Allah jadikan syurga sebagai ganjaran bagi hambaNya yang bertaqwa. dan Allah ceritakan keindahan syurga supaya manusia terdorong untuk melakukan amal soleh.

dan bukankah janji Allah itu adalah pasti?

bukankah jual beli ini adalah jual beli yang paling menguntungkan?

kenapa mahu teragak-agak lagi? ayuh, mulakan langkahmu!

No comments: