Sunday, December 4, 2011

kita, lokman dan lautan

masa.
kita tidak akan tahu bilalah tibanya saat yang ditentukan. rasulullah dan jibrail sendiri juga tidak tahu. tiada siapa pun yang tahu bilakah dunia ini akan hancur, yang hanya mereka mampu adalah menyangka dan meneka tarikh yang mereka sendiri tidak pasti. apa yang kita tahu hanyalah apa yang telah diberitahu melalui kalam Allah dan lidah nabi.

hujan.
apabila suhu menurun dengan mendadak, ramai yang berbicara tentang kemungkinan yang salji akan turun awal tahun ini. namun, hari berganti hari, minggu berganti minggu, air yang turun masih lagi cair. biarpun suhu membeku membuatkan badan menggigil, air masih lagi berdegil tidak mahu menjadi ais. kuasa siapakah itu selain kuasa Allah yang maha mengetahui?

rahim.
biarpun sedalam mana ilmu embriologi yang ada pada manusia, mereka tidak akan dapat mengetahui saat yang tepat seseorang bayi itu akan lahir. mereka mungkin boleh meneka yang bayi itu akan lahir kira-kira 9 bulan dan seminggu namun mereka tidak akan tahu adakah bayi itu akan lahir lebih awal atau lewat. para saintis telah berjaya mengetahui bagaimana tubuh dan organ bayi itu terhasil namun bukankah itu telahpun dikhabarkan oleh kalam Allah beribu tahun yang lalu?

esok.
jika kita menanam biji benih, apakah kita mampu mengatakan bahawa ianya akan tumbuh menjadi pohon yang rendang? adakah dengan sijil dan ilmu yang kita ada, kita dengan senangnya akan dikejar oleh puluhan peluang pekerjaan? apakah duit emas berlian yang kita simpan hari ini, boleh kita gadaikan pada esok hari? adakah apabila kita tidur pada malam hari dan kita tahu bahawa kita masih lagi mampu menghirup udara esok hari?

mati.
sesorang yang terlantar sakit kerana kanser, namun hasil usaha para doktor akhirnya dia sembuh, dan dibenarkan kembali ke rumah. sesampai di rumah, dia meninggal dunia akibat serangan jantung secara tiba-tiba. seseorang yang berhajat untuk pergi ke tanah suci, namun akhirnya dia meninggal sebelum sempat melangkahkan kaki. bukankah Allah sahaja yang tahu di mana pengakhiran kita?

ilmu kita hanyalah setitis dari lautan ilmu Allah. siapakah yang lebih tahu melainkan sang pencipta?

No comments: