Tuesday, December 6, 2011

Biji kurma, Kapal dan Syurga

apakah kamu ingin menanam biji kurma itu?

ramai manusia menganggap kejayaan itu bergantung pada hasilnya. ya, sudah pasti itu satu kenyataan yang benar. jika tidak, mengapa pula mendapat syurga itu dikatakan satu kemenangan? namun, bagaimana pula dengan kisah seorang budak yang sangat tekun belajar untuk peperiksaan akhir, namun pada hari dia ingin mengambil peperiksaan itu, dia dilanggar(ditabrak) oleh sebuah kereta? adakah dia termasuk orang-orang yang gagal? kerana itu, persoalan ini sangat penting untuk kita renungkan, "apakah itu kejayaan dan apakah pula kegagalan?"

ramai orang yang menganggap cemerlang dalam ujian satu kejayaan. ramai yang menganggap kenaikan pangkat satu kejayaan. ramai pula yang menganggap harta kekayaan dan anak isteri satu kejayaan. namun pada hakikatnya, anak isteri, harta, pangkat, ilmu adalah milik Allah, dan Dia akan memberikannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. dan Dia akan menariknya daripada sesiapa yang Dia kehendaki.

mungkin kita boleh memberikan analogi seorang pembuat kapal. dia telah bertukus lumus mengecat dan mencantikkan kapalnya sehingga terlihat indah di mata manusia. namun dia lupa untuk memastikan kapal itu tidak bocor dan bahan yang diguna kalis air. akhirnya, kapal itu hanya boleh dipamerkan di darat sahaja dan tidak boleh diapungkan di laut. dan bukankah tugas sebuah kapal adalah untuk terapung berlayar di atas laut?

bolehkah dia merasa gembira dengan kejayaannya menghias kapal, padahal dia gagal memastikan kapal itu berfungsi dengan baik? dan adakah 'kejayaan'nya itu dikira satu kejayaan? begitu juga dengan kita, adakah kita hendak berbangga dengan kejayaan dunia padahal akhiratlah destinasi kita? jangan kita tertipu dengan dunia yang fana ini dan lupa akan akhirat yang pasti.

dan sudah pasti untuk memastikan sesebuah kapal itu berlayar dengan baik di laut, kita mestilah memastikan bahawa bahan yang diguna kalis air dan tidak bocor. dan dengan berjayanya kita untuk memastikan perkara-perkara ini, kapal yang kita bina akan berjaya berlayar dengan baik. kerana itulah sekadar menanam biji kurma sudah dikira satu kejayaan.

persoalannya, mahukah kamu menanam biji kurma itu?

No comments: