Monday, December 27, 2010

virus-virus ukhuwah #1: tamak akan kenikmatan dunia

Bismillahirrahmaanirrahiim.

ukhuwah yang kita jalinkan tidak berlaku tanpa sebab. mustahil untuk kita mendekati seseorang tanpa ada sesuatu hal. kerana itulah, jika kita tidak mendekati seseorang kerana Allah, kita akan mendekatinya bukan kerana Allah.

ukhuwah yang kita jalinkan tidak patut berlandaskan harta dunia. jika kita berkawan kerana harta, tidak mustahil jika suatu hari nanti kita akan berpisah kerana harta. sudah kita tahu, bahawa harta dunia tidak akan kekal. harta dunia tidak membawa apa-apa manfaat melainkan jika digunakan atas jalan Allah. sesuatu hubungan yang terjalin atas dasar kekayaan dunia, sama seperti kekayaan dunia, akan lenyap satu hari nanti.

hitungkanlah, berapa ramaikah rakan kita yang lebih kaya, dan berapa ramaikah rakan kita yang lebih miskin dari kita. atau kepada siapakah kita selalu bersama bergelak ketawa. atau kepada siapakah kita akan pergi jika kita ditimpa kesempitan dan kesusahan? hitungkanlah juga, berapa ramaikah rakan kita yang akan pergi meninggalkan kita jika kita ditimpa kesusahan atau jika ada orang lain yang lebih banyak hartanya.

hayatilah kisah para sahabat; selepas hijrah, berkatalah seorang ansar kepada seorang muhajir, " Allah maha pemurah dan baik kepadaku dan aku adalah orang yang paling kaya di antara penduduk madinah. aku mempunyai dua buah kebun yang besar dan dua orang isteri. pilihlah mana-mana kebun untukmu dan aku akan memberinya kepadamu. dan aku akan menceraikan salah seorang isteriku supaya apabila cukup iddahnya, bolehlah kamu berkahwin dengannya. oleh kerana kamu adalah saudara seagamaku, sudah menjadi tugasku untuk menjaga segala keperluanmu." namun, si muhajir itu menjawab, " semoga Allah memberkatimu dalam harta-harta dan keluargamu. cuma tunjukkan aku jalan ke pasar. aku akan mengumpul keperluanku sendiri. aku tidak ingin menyusahkan sesiapa."

ukhuwah yang kita bina haruslah berlandaskan iman. itulah sebaik-baik tujuan berukhuwah.

No comments: