Monday, March 28, 2011

mimpiku sebagai hamba


seorang da'ie tahu bahawa dia hanyalah manusia yang punya dua puluh empat jam sehari dan tujuh hari seminggu. namun kerana sayangnya dia pada manusia sekaliannya, seluruh masanya digadaikan demi orang lain sedang dia juga memerlukannya.

seorang da'ie tahu bahawa dirinya tidak mampu untuk membawa manusia ke jalan yang lurus selagi dia tidak berada di jalan itu. lantas dia terus berpaling dari mimpi-mimpi enak melalaikan walaupun itu adalah kesukaannya sebelum ini.

seorang da'ie tahu bahawa orang yang mendengar kata-katanya adalah manusia. lalu dia memperlahankan kata-katanya, memikirkan setiap perilakunya, dan belajar setiap seni yang ada supaya yang mendengar memahami dan yang memahami mengimani.

seorang da'ie tahu bahawa setiap langkahnya akan diperhatikan oleh Allah, oleh manusia dan oleh syaitan. maka dia akan sentiasa berhenti sejenak, menundukkan mukanya, duduk dan mengira-ngira, adakah hari ini dia telah melaksanakan tugasnya atau belum.

seorang da'ie tahu bahawa kejayaannya dalam jalannya adalah kerana izin Allah. lantas sang singa di siang hari menjadi seorang hamba di malam hari. tiada masa yang dihabiskan tanpa zikir, dan tiada saat berlalu tanpa fikir. dengan mengharapkan redha Allah, dia keluar dari perbaringannya kepada dunia yang suram dilanda gerhana.


menjadi seorang da'ie adalah mimpiku, kerana aku juga masih belum layak digelar sebegitu. namun, inilah impian setiap yang mengimani kekuasaan dan cinta Allah, yang mengharap redhaNya lebih dari redha sekalian makhluk, yang percaya bahawa kegelapan hari ini hanya gerhana, bukannya terbenam mentari.

No comments: