Wednesday, April 6, 2011

Freedom

seekor burung yang disangkarkan. dia tidak berupaya untuk terbang bebas. makan minumnya disediakan oleh tuannya. sedap atau tidak bukan pilihannya. lalu atau tidak, bukan kemahuannya. lalu, dia menyangka sangkar itulah yang menjaganya. sangkar yang mengurungnya yang memberi setiap keperluannya. bertahun-tahun selepas itu, dia mulai lupa akan dunia luas.

maka, pada suatu hari, dia terlihat akan seekor burung yang lain. tegap, cantik, sayapnya lebar sedepa. dia kagum melihat burung itu. dan dia melihat pada dirinya. dirinya juga punya sayap yang lebar. bezanya dia berada di dalam sangkar sedang burung yang dia lihat sedang terbang di langit biru. 'terbang'. perkataan itu tiba-tiba melintas hatinya. bukankah dia juga punya sayap? apakah gunanya sayap itu jika tidak untuk terbang? dan terlintas dari hatinya, "aku mahu terbang!"

lantas dia memikirkan cara untuk dia keluar dari sangkar itu. dia merayu kepada tuannya, namun tiada balasan. jelas sekali bahawa tuannya tidak mahu melepaskannya. lalu dia berfikir lagi. dia meminta bantuan burung-burung lain. namun, tiada siapa yang ingin membantu. mereka lebih suka disangkarkan daripada terbang bebas. sikap berung-burung lain hampir mematikan semangatnya. namun, ingatannya pada burung yang terbang di awan biru menaikkan semula apa yang hampir padam.

dan dia pun mematuk pintu sangkar itu. pada mulanya, dia berhenti seketika lantaran sakitnya paruhnya. namun, dia kembali mematuk dan mematuk. perlahan-lahan dia mematuk, kemudian dilajukan. pada mulanya, tiada langsung calar pada pintu sangkar itu. lama-kelamaan, semakin nampak kesan patukan itu. dan dia terus mematuk dan mematuk. dan akhirnya, pintu itupun terbuka.

lalu, burung itupun melebarkan sayapnya. naik turun, naik turun. lalu, sedikit demi sedikit badannya terapung. sedikit demi sedikit, dia terbang. dan dia terbang!

rajawali yang dipipitkan, kini menjadi rajawali yang terbang megah di langit biru!

No comments: