Friday, March 11, 2011

pokok yang satu itu

pokok yang satu itu, tidak berbunga tahun ini. ketika yang lain berwarna cerah, ada yang merah, kuning, ungu, hijau, dia berdiri tegak keperangan. sebelum ini, tidak pula dia sebegitu. sebelum ini, dia juga berbunga seperti yang lain. tahun ini, pokok yang satu itu tidak pula berbunga.

tatkala pepohon lain mendekati, bertanyakan khabar, "wahai pokok yang satu, adakah kau sakit? adakah engkau ditimpa selsema perubahan musim, atau ada parasit yang menghisap nutrienmu?" lalu, pohon yang satu itupun berkata, "tidak, aku tidak sakit. namun aku sudah tidak sanggup lagi berbunga. diriku merasa pedih apabila unggas-unggas menghisap maduku setiap hari. apabila aku mengeluarkan buah, anak-anak kecil akan membalingku dengan batu. ada juga tupai dan tikus yang memakan buahku. dan apabila tiba masanya, seluruh tubuhku akan merasa penat menggugurkan daun-daun pada musim luruh."

tingkah pokok yang satu itu membuatkan pepohon yang lain berpecah berbahagi. ada yang tidak bersetuju dengan pandangan pokok yang satu itu. ada pula yang bersetuju. ada pula sebilangan pepohon yang masih muda yang ingin mengikuti langkah-langkah pokok yang satu itu. kata mereka, "kami tidak suka dipaksa-paksa. bukankah menjadi sebuah pokok ini sepatutnya mudah. buat apa hendak disukarkan?"

dan pokok yang satu itu tidak berbunga.




tiga tahun selepas itu...
sudah tiga tahun pokok yang satu itu tidak berbunga. batangnya yang dahulunya perang kini berwarna kelabu kehijauan tanda diserang kulat. akarnya yang dahulu kukuh mencengkam bumi kini sudah terlalu lemah untuk menampung dirinya. jika tidak kerana beberapa batang dahan yang masih tinggal, sudah pasti pokok yang satu itu menjadi tunggul sahaja.

maka, datanglah sebuah pokok yang besar dan hijau kepadanya. dari rupa dan gayanya, tampak bahawa dia adalah sebuah pokok yang matang dan agak tua, namun masih kuat berdiri. dan pokok yang tua itu berkata,

"wahai pokok yang satu, bagaimana hidupmu? sihatkah atau sedang ditimpa kesakitan?"

"wahai pohon tua, adakah engkau tidak melihat diriku? tidakkah kau lihat bahawa aku sedang menderita sakit?"

"aku tahu dan aku sedar. dan aku bersimpati dengan dirimu. adakah kau tahu kenapa diri sebegini, wahai pokok yang satu?"

"tidak. aku tidak tahu. adakah kau tahu mengapa aku menjadi sebegini wahai pohon tua?"

"sakitmu ini pernah aku lihat sebelumnya. sebenarnya kamu telah mati sebelum ajalmu tiba!"

"bagaimana aku boleh mati sebelum ajalku tiba? bukankah aku masih lagi bernafas dan boleh lagi bercakap sekarang?"

sambil tersenyum, pohon yang tua itu berkata, "ya, kamu masih lagi hidup sekarang. namun, kamu hanya hidup pada luarannya sahaja. lihatlah ke dalam hatimu, bukankah hatimu terasa seakan-akan kosong?"

sambungnya, "kehidupan bukan hanya dinilai melalui nafas atau percakapan. kita perlu ingat bahawa kita ada tujuan hidup yang telah digariskan oleh sang pencipta."

"seperti berbunga dan berbuah?"

si pohon tua itu tersenyum.

"tetapi aku merasa sakit setiap kali unggas menghisap maduku, anak-anak kecil membaling batu padaku, dan angin luruh merentap daunku." kata pokok yang satu itu.

"dan apabila kau tidak berbunga, berdaun dan berbuah, adakah kau tidak merasa sakit?"

pokok yang satu itu terdiam.

"ya, memang kita akan merasa sakit setiap kali makhluk lain mengambil manfaat dari kita. namun, kesakitan itulah yang membuatkan kita hidup. tidakkah kau merasa gembira tatkala unggas berkicau mesra kerana kemanisan madumu, anak-anak kecil riang setelah kau suap mereka dengan buah-buahan, dan pokok-pokok muda mendapat khasiat dari daun yang kau gugurkan? erti hidup kita bukanlah untuk bergembira. erti hidup adalah memberi, dan dengan memberi, lahirlah kegembiraan."

pokok yang satu itu masih terdiam. namun, dari rupanya itu, terpancar cahaya kesedaran.

lalu pohon tua itu berkata, "apapun pilihanmu adalah pilihanmu sendiri. di sini aku ingin ucapkan terima kasih."

dan pohon tua itupun beredar.



dan pokok yang satu itu berbunga tahun ini.

No comments: