Monday, October 10, 2011

belajar dari Karbon

ada apa dengan karbon?

satu atom karbon ada 6 proton, 6 neutron. empat elektron yg paling luar boleh dikongsi dengan atom-atom lain melalui ikatan kovalens. itu sahajalah nilai sebuah atom karbon.

adakah itu sahaja nilai karbon?

fikirkanlah,

apabila atom-atom karbon ini berkongsi elektron mereka, lalu mereka membentuk ikatan-ikatan yang tersusun, maka terhasilah satu permata yang dinamakan berlian. satu material yang lebih keras dari besi dan keluli. permata yang begitu mahal harganya, menarik pandangan jauhari. dan jika disusun dengan ikatan yang lain pula, atom-atom ini akan membentuk 'graphite', yg digunakan dalam menulis dan meninggalkan jejak-jejak untuk masa depan. juga jika disusun dengan ikatan yang lain pula mampu membentuk molekul besar 'buckyball' yang potensinya masih sedang dikaji oleh para saintis. semuanya dari sejenis atom bernama karbon.

jika difikirkan komposisi karbon di dalam bumi dan juga di dalam udara agak sedikit. ia bukanlah atom yang terbanyak di dunia. namun, tanpa atom ini, tiada yang dapat hidup di dunia ini. jika digabungkan dengan air, akan terhasillah karbohidrat yang menjadi sumber tenaga bagi kita. karbohidrat juga adalah produk hasil fotosintesis yang mana dengannya tenaga dari matahari dapat digunakan untuk kehidupan. apabila digabungkan dengan atom-atom lain seperti hidrogen, oksigen, nitrogen dan bermacam lagi, berbilion-bilion produk dihasilkan yang sebilangannya memberi manfaat dan yang lain mampu membinasakan. semuanya dari satu atom bernama karbon, yang bilangannya kecil, namun kesannya besar.

belajarlah dari karbon.
kadang-kadang kita merasa diri kita agak kecil. kita tidak mampu menggoncang dunia. namun ingatlah, dengan asuhan yang terbaik, dan ikatan yang teguh, tiada apa yang mustahil bagi kita.

kita adalah atom-atom karbon. kitalah bakal intan berlian, mata pena, karbohidrat dan kehidupan.


No comments: