Sunday, October 23, 2011

Masa Depan dan Harapan

"bagaimanakah dunia yang akan anak cucu kita lihat?"


tatkala ibrahim meninggalkan hajar dan ismail di tengah padang tandus, lalu dia berdoa supaya anak cucunya beriman kepada Allah. pelikkah, seorang bapa yang sanggup meninggalkan anaknya yang seorang itu, ketika ishak masih belum lahir, di tengah gurun yang tiada air, dan dia berdoa untuk generasinya yang akan datang? tiada yang pelik apabila diri berserah hanya pada yang satu. dan di atas pengorbanan itulah, makkah menjadi kiblat pertama dan cahaya penutup lahir di bumi yang aman.

tatkala kekasih Allah berdiri di padang arafah, dan dia melihat pada ratusan ribuan manusia, manusia yang kembali pada fitrahnya. dan dia tahu yang dia tidak akan dapat melihatnya lagi di dunia ini. dan dia berfikir apakah wasiat yang harus dia berikan pada mereka. lalu dia berkata, "aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang selagi kamu berpegang kepadanya, kamu tidak akan sesat; kitab Allah dan sunnah nabi." dan pada hari ini, tiada siapa yang berpegang kepada dua ini melainkan dia berada di jalan yang lurus.

kerana anak itu adalah dari Allah, sama seperti harta, perempuan, ilmu, pangkat dan bermacam lagi nikmat yang tidak terhitung banyaknya. dan seperti mana nikmat-nikmat yang lain, anak adalah amanah bagi kita dan ujian dalam menentukan sejauhmana cinta kita pada yang satu.

dan jika kalian punya anak kecil, pandanglah pada mata mereka, kerana pada mata mereka yang masih belum mengenal kata-kata, tersembunyi satu harapan yang suci. mereka juga seperti kita dahulu, ketika kita masih belum mengenal dunia hari ini, yang sentiasa mengharap agar hari esok cerah supaya kita boleh bermain bersuka-ria bersama rakan-rakan.

dan tanyalah kembali pada diri kita, "dunia apakah yang akan anak cucu kita lihat?"


No comments: