Thursday, November 3, 2011

...dan Umar pun bangkit

Andai kata Umar bangkit dari kuburnya. lalu dia pun melihat ke kiri kanannya. dan dia melihat begitu ramai sekali manusia-manusia di masjid nabi. manusia-manusia yang khusyuk beribadah pada tuhannya. manusia yang tidak henti-henti berzikir dan membaca al-quran. maka Umar pun mengucapkan syukur pada rabb. syukur kerana begitu ramai sekali yang berada di dalam masjid itu. bersyukur dengan luasnya masjid itu berbanding sewaktu pertama sekali ia dibina.

lalu diapun menyapa salah seorang yang sedang khusuk bertasbih. dia memberi salam lalu dijawab dengan balasan yang sama. maka Umar pun bertanya kepada yang berada di hadapannya, "apa khabar kamu hari ini?" dan yang duduk itupun menjawab, "alhamdulillah, aku baik-baik sahaja." dan Umar pun turut mengucapkan syukur. namun, di hatinya terdetik bahawa ada sesuatu yang dia sembunyikan. lalu dia pun bertanya, "apa khabar iman kamu hari ini?" yang duduk itu tiba-tiba tersentak, seolah-olah kali pertama ditanya soalan itu. mungkin itulah kali pertama dia ditanya soalan itu!

dengan terketar-ketar, dia pun menjawab, "baik-baik sahaja..." tertanya jawapan itu makin tidak memuaskan hati Umar. dan dia pun bertanya lagi, "bagaimanakah solat kamu? puasa kamu? zakat kamu? amal ibadahmu?" dengan tenang yang duduk itu pun menjawab, "alhamdulillah, semua cukup." dan Umar pun bertanya lagi, "bagaimanakah saudaramu?" lalu orang yang di hadapannya terdiam.

"bagaimanakah Mesir?" diam. "bagaimanakah Iraq?" senyap. "bagaimanakah Syria?" sunyi. dan muka yang bertanya mula memerah, jantung berdegup kencang. lalu Umar bertanya dengan suara yang keras, "bagaimana Palestin?" yang ditanya tiba-tiba mengeluarkan air mata. namun masih belum ada kata-kata yang keluar dari mulutnya.

dan Umar pun berlari meninggalkan yang menangis itu, keluar dari masjid itu. dan dia melihat ke kiri kanannya. manusia lalu lalang, begitu ramai. madinah yang dahulunya hanyalah sebuah kampung kecil telah berubah kepada bandar besar. namun, bukanlah perubahan itu yang dirasa oleh Umar. ada sesuatu yang tidak kena. sangat tidak kena.

lalu dia pun berlari ke arah Iraq. dan dengan kebesaran tuhan, dia pun sampai ke destinasi dalam sekelip mata. sesampai di sana, dia mengerdip dan mengenyeh matanya tidak percaya. "bukankah bumi ini dahulunya bumi yang subur dan indah, yang dipenuhi emas dan harta? bumi apakah yang aku sedang lihat ini?" lalu dia pun berlari ke arah Syria. dan dia melihat seorang sedang bersiap untuk berperang. "musuh apakah yang masih berani menyerang tentera islam? tidakkah mereka sedar bahawa tentera islam tidak akan sekali-kali dikalahkan?" dan apabila dia pergi ke medan perang, hatinya bagai dihiris-hiris dengan pedang. manakan tidak, musuh yang yang hendak ditentang adalah umat islam sendiri!

lalu dia memandang pada Mesir di barat, dan dia melihat kemunduran yang amat. dan dia melihat pada negara di selatan, dan dia melihat kebuluran dan kemiskinan melampau. lalu dia melihat pada negeri jauh di timur, dan dia melihat perpecahan yang memusnahkan. di kiri kanan depan belakang semuanya umat islam, umat islam yang mundur, miskin dan berpecah belah. lalu diapun berteriak, " di mana abu ubaidah? di mana saad? di mana khalid? di mana qa'qa'? amru? dirar? barra'? di mana pemuda-pemuda ikhlas? Umar memanggilmu!"

namun sahutannya tak berjawab. tiada lagi abu ubaidah. tiada lagi saad. tiada lagi pedang Allah. tiada lagi pemuda yang menyahut seruannya. dan dia pun pergi ke baitul maqdis. dan dia melihat jantung dunia itu kini dikuasai yahudi. yahudi yang pernah dihalau kerana keangkuhan dan khianatnya pada islam. yahudi laknatullah. "apakah ini? bukankah kunci dunia sepatutnya dipegang oleh islam? apakah umat islam sebegitu hina untuk menyerahkan kunci itu pada yahudi tercela?"

lalu dia pun menyeru kembali, "bangkitlah! bangkitlah wahai umat islam! jangan biarkan lagi taghut berleluasa! lupakah kamu tentang jihad? butakah kamu dari melihat syurga yang dijanjikan? tulikah kamu dari mendengar ratapan manusia sekeliling kamu?"

dan Umar pun berdoa, "ya Alllah, sekiranya aku masih mampu memegang tali cematiku, akan ku pukul seluruh umat islam yang masih terlena. akan ku sebat semua yang masih alpa. namun masaku sudahpun berakhir. ya Allah, peliharalah umat ini."

jasad Umar sudah lama bersemadi. namun jiwanya masih lagi hidup dalam hati-hati yang hidup, menunggu dan menunggu untuk dibangkitkan semula. wahai Umar, bangkitlah!

1 comment:

Hidayatullah said...

sobri.. ko nye layout same dgn ak.. haha..

slamat ari rye aidiladha..