Wednesday, November 16, 2011

Dan Burung yang Marah itu pun Berkata-kata

artikel ini bukanlah untuk menumpang nama atau mengutuk cela saudara-saudara saya. bukan pula untuk menjelaskan perkara yang sudah jelas atau memberi pendapat diri. bukanlah artikel ini dibuat tanpa memikirkan manfaat dan mudharatnya. artikel ini lahir dari hati yang sudah tidak tahan melihat ketidakharmonian dalam berbicara dan mudahnya menilai berdasarkan hawa nafsu.

ya, saya sangat marah. sangat-sangat marah apabila kata-kata itu diinterpretasi dengan hawa nafsu. begitu mudah sekali kita mengambil apa yang dikata atau ditulis, lalu dengan senangnya diletakkan pada perkara yang tak sepatutnya. apakah kalian telah membelah dada mereka lalu kalian tahu apakah tujuan sebenar kata-kata mereka? atau adakah kalian mempunyai mata yang mampu menerobos ruang benak fikiran mereka? atau adakah kalian memiliki kitab segala ilmu? jawablah, jika kalian tidak mempunyai ilmu, kenapa kalian begitu mudah sekali berbicara?

kata-kata adalah senjata yang paling tajam. jika pedang boleh memotong seratus orang sebelum menjadi tumpul, kata-kata mampu membunuh berjuta-juta orang dan masih boleh diguna seperti baru. kerana ketajaman itulah, kata-kata juga boleh diguna untuk membunuh tuannya sendiri. itulah bahaya kata-kata. kerana itulah, jika kalian tidak mempunyai ilmu, diamlah. kerana itulah, jika kalian mengimpikan akhirat, pilihlah antara dua.

namun, kata-kata juga adalah rahmat. jika tiada kata, tiadalah kehidupan. lahirnya manusia kerana kata-kata. bahagianya manusia kerana kata-kata. berimannya sebahagian manusia kerana kata-kata yang terucap dari lidah seorang murabbi. kerana itu, janganlah mencela kata-kata. janganlah pula mencela orang yang berkata-kata. tetapi lihatlah di sisi yang lain, dari dimensi akhirat.

kerana kata-kata dan bolehnya kita berkata-kata adalah rahmat dari Allah. jika Dia mahu, Dia boleh mencabutnya dari kita. kerana itu, bersyukurlah dengan nikmat yang kita miliki. tebaskanlah kebatilan dengan kata-kata dan siramilah kebenaran dengan kata-kata.


No comments: