Tuesday, November 8, 2011

di antara Dua Ekstrim yang Berbeza

di satu sisi, kita ada abu bakr. seorang yang lemah lembut, penyantun. pipinya selalu dibasahi air mata yang takutkan tuhannya. suaranya begitu kecil dan jika hendak membaca al-quran selalu tersekat-sekat dengan tangisannya. apabila berjalan, sentiasa tunduk. di malamnya, selalu sujud. dialah orang yang akan membenarkan segala yang diucapkan oleh rasulullah, dalam apa jua perkara. dialah yang pertama-tama islam, yang pertama-tama yakin dengan isra' dan mi'raj, yang kedua daripada dua orang yang bersembunyi, antara yang terawal melindungi nabi sewaktu uhud, yang menginfakkan seluruh hartanya sewaktu tabuk, dan dialah yang pertama sekali meredhai pemergian kekasih Allah.

dan di satu sisi yang lain, kita ada umar. seorang yang sangat tegas dan keras. bak kata orang-orang tarbiyyah, 'syadid'. sewaktu jahiliyyah, dia ditakuti oleh orang islam. sewaktu islam pula, orang kafir tak berani lagi untuk menyiksa orang islam. ketika pemerintahannya, cemeti selalu berada di tangannya. dia tidak pula takut untuk memberi pendapatnya. di rumah al-arqam, sewaktu hijrah, selepas badar, selepas perjanjian hudaibiyyah. dan di sebalik kekerasannya terhadap rakyatnya, dia juga punya rasa tawaduk dan zuhud. rumahnya hanyalah sebuah khemah yang tidak mempunyai pintu. jika ada seseorang yang paling layak menerima baitulmal, dialah orangnya. jika ada nabi selepas muhammad, dialah orangnya.

dan di antara kedua-duanya ada muhammad. malah agak jarang untuk rasulullah berkata 'aku' melainkan akan disebut juga abu bakr dan umar. aku, abu bakr dan umar itu aku, abu bakr dan umar ini. apakah kita menyangka bahawa dua orang yang berada pada ekstrim yang berbeza ini boleh disatukan di atas matlamat dan jalan yang sama?

kerana rasulullah murabbi agung. akhlaknya, hikmahnya, tauladan yang ditunjukkannya berjaya menyatukan dua yang berbeza. keadilannya dalam bersahabat dan kepandaiannya bergaul menjadikan dirinya tumpuan semua orang. bagaimana dia menarik, mendidik dan memupuk abu bakr dan umar, yang sangat berbeza personalitinya menunjukkan fleksibiliti dakwah dan tarbiyyah yang menakjubkan.

dan juga kerana satu resepi kesatuan yang ditunjukkan oleh Allah dalam surah badr. soalnya kini, apakah resepi kesatuan kita?


No comments: