Wednesday, November 30, 2011

Kuda Tarbiyyah

Di sebuah padang rumput yang luas, terdapat sekawan kuda-kuda liar. dan di dalam kawanan itu, terdapat seekor kuda yang amat tangkas dan laju. ini adalah kisah kuda itu. seekor kuda liar yang hidupnya makan minum berlari-lari di dalam padang rumput yang luas itu.

Dan dengan izin Allah, pada suatu hari, kuda yang tangkas itu telah ditangkap oleh seorang pemuda manusia. bagaimana dia dapat ditangkap tidak perlulah diceritakan. dan kuda itupun dibawa ke sebuah kandang.

Dengan itu bermulalah kisah hidup kuda itu di kandang yang belum pernah dia jejaki sebelum ini. pada mulanya, dia begitu kekok untuk tinggal di kandang itu. masakan tidak, sebelum ini dia berlari berkejaran di padang yang luas. dia makan dan minum sesuka hati, bergaul mesra dengan kuda-kuda liar yang lain. sebelum ini, dia merasakan bahawa dirinya bebas tidak terikat dengan apa-apa. dan kini dia merasa dirinya dipenjara oleh pemuda yang menangkapnya.

Namun si pemuda itu bukanlah seorang  yang kejam. maka setiap hari dia akan memberi makan kepada kuda itu dengan rumput jerami segar. bulu kuda itu akan sentiasa disisir dan dijaga rapi oleh saudara pemuda itu. kesihatan dan kebersihannya sentiasa menjadi keutamaan si pemuda itu. dan kuda itu bukanlah di dalam kurungan, kerana setiap minggu si pemuda itu akan membawa kuda jagaannya bersiar-siar sambil mengajarkan kepadanya beberapa teknik-teknik berguna.

Terhibur sebentar di kandang itu, berbunyi semboyan tanda suatu peperangan hendak bermula. lalu datanglah si pemuda ke kandang dan dia berkata kepada kuda kesayangannya itu, "aku ingin turut serta dalam peperangan kali ini dan aku mahu kamu untuk menemaniku di sana." dengan segera kuda itupun menganggukkan kepalanya tanda setuju. pada benak hatinya terlintas satu rasa, "sudah tiba masanya untuk aku membalas segala jasa tuanku kepadaku!"

Tibalah saat yang ditunggu, maka kuda itupun menjejakkan kakinya buat pertama kali di medan perang. lalu dia memandang di sekelilingnya. di kiri dan kanannya, dia melihat kuda-kuda yang lain yang dinaiki oleh rakan tuannya, dan di antara kuda-kuda itu, ada rakan-rakan sepermainannya yang dari padang rumput yang sama. dan jauh di hadapannya, dia melihat ada lagi rakan-rakan sepermainannya yang dipandu oleh manusia-manusia musuh kepada tuannya. dan semboyan berbunyi sekali lagi.

Tangkas! seperti halilintar membelah bumi, kuda itu terus menerjah ke kawasan musuh. tiada rasa takut, tiada rasa gentar. pedang dan tombak tidak dapat memperlahankan langkahnya. desingan besi yang bertemu dan suara kematian langsung tidak memalingkan pandangannya. walau berhadapan dengan rakan lamanya, dia terus mara demi tuannya. itulah kisah seekor kuda perang!




1 comment:

Anonymous said...

nice piece. keep writing. teruskan mara di medan. syurga di hadapan. inshaAllah.