Saturday, January 21, 2012

Hari#1: Aku dan Jumaat

masih aku ingat sewaktu kecil-kecil dahulu, hari jumaatlah yang paling aku tunggu-tunggu. mana tidaknya, bila lagi aku dapat merasa aiskrim berharga tiga puluh sen selepas habis solat. dan aku masih ingat apabila aku sentiasa ditempatkan di saf-saf belakang bersama budak-budak lain. kerana aku telah dilatih untuk duduk diam, jarang sekali aku bermain dengan budak-budak lain. apa yang selalu aku buat adalah bermain-main dengan karpet masjid berimiginasi sesuka hati aku.

apabila aku masuk ke asrama, aku mula kenal yang masjid itu lebih dari satu. dan buat pertama kali aku berada di saf pertengahan. buat pertama kali aku dapat melihat muka khatib, walaupun kadang kala terhalang oleh tiang. dan oleh kerana sesi persekolahan aku yang bermula pada hari ahad, aku tidak ada kelas pada hari jumaat. aku masih ingat lagi betapa seronoknya aku dan teman seasramaku mandi bersama di luar (ada sebuah kolah besar di situ) sebelum solat jumaat di masjid.

dan kemudian aku berpindah ke negeri lain. dan aku mengalami satu perubahan yang boleh dikatakan mendadak buat diriku. disebabkan ada kelas di waktu pagi, kebiasaannya aku akan terus memakai baju melayu sebelum kelas dan terus pergi ke masjid tanpa mandi terlebih dahulu. aku juga mula mengenali saf ke-dua dan ke-tiga. kadang kala apabila ada masa kosong, aku akan cuba mengisinya dengan bacaan yasin atau zikir yang aku hafal. dan apabila khutbah dibacakan, aku (dan sesetengah kawanku) akan tersengguk dan terlena sambil duduk.

aku pun sudah tidak pasti sejak bila aku berjinak-jinak dengan saf pertama. aku juga sudah tidak lagi ingat bilakah kali pertama aku membaca surah al-kahfi dengan lengkap. aku juga sudah terlupa kali pertama aku solat sunat tahiyyatul masjid. namun aku pasti bahawa perubahan aku ini bukanlah sesuatu yang drastik. ianya bermula dengan perlahan dan bertahap. dari satu anak tangga ke satu anak tangga yang lain.

dan kini, aku di sini. setiap jumaat berjalan kaki ke masjid, kadang kala awal, jarang sekali lewat dan itupun jika ada hal. jika ada peluang, aku akan membacakan khutbah, kadang kala fasih, kadang kala tersekat-sekat. surah al-kahfi menjadi temanku di hari jumaat, kisah si pemuda, musa, dzul karnain menjadi inspirasiku. dan tazkirah yang diberi oleh sheikh dari pakistan itu menjadi penenang hatiku yang sentiasa berbolak balik. aku sentiasa menanti jumaat laksana jejaka mengimpikan kekasihnya.

ini adalah kisah aku. bagaimana pula kisahmu?

No comments: