Saturday, January 21, 2012

Hari#2: Aku dan Medik

Jika memori aku tidak menipu, cita-cita aku yang pertama bukanlah doktor. malah doktor yang ada dalam keluargaku hanya seorang bapa saudara yang jauh dan jarang aku jumpa. impian aku sewaktu kecil adalah untuk mengikut jejak atukku, seorang alim agama. mungkin dari situlah aku ditanam minat untuk mendalami ilmu agama, kerana seronoknya membaca tulisan jawi dengan lancar. dan dari situ jugalah aku belajar satu peraturan alam yang sangat penting; bahawa setiap perkara ada lawannya.

 dan selang beberapa ketika, aku dipertemukan dengan ilmu sains. dan kerana aku pelajar lompat (kerana cemerlang dalam pts, yang pada awalnya aku juga tak tahu bahawa itu juga adalah salah satu dari cabang sains), aku dihantar ke kelas tuisyen untuk sains dan matematik. dan situlah aku ditanam pula dengan rasa suka akan ilmu alam. antara perkara yang paling aku suka adalah apabila belajar tentang hidupan dan bagaimana mereka dapat hidup. di situlah aku belajar tentang hukum-hukum yang ada pada alam walaupun pada waktu itu aku masih belum tahu apa itu hukum alam.

dan kemudian aku melanjutkan pelajaran aku ke (dua buah) sekolah menengah agama. dan di situ aku belajar ilmu agama dengan lebih lanjut. semakin banyak ilmu yang dicurah kepadaku, semakin bertambah pula minat aku untuk mendalami ilmu itu. dan berkat doa ibuku, aku di antara mereka yang mencapai keputusan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan. dan betapa aku tidak mahu kalah dalam perlumbaan menjadi yang pertama. betapa aku sangat merindukan perasaan ingin berlumba-lumba dengan rakan sekelasku siapakah yang akan menjadi pelajar cemerlang dalam akademik.

dan tibalah satu saat di mana aku mula menyoal diriku, "untuk apakah aku belajar semua ini?" jika aku belajar kerana ingin menjadi yang terbaik, sesi perlumbaan sudahpun tamat. dan aku mula memikirkan soal yang ke hadapan, soal kerjaya. sangat pelik untuk diriku yang selama ini hidup hanya di depan meja untuk melakukan sesuatu yang bukan lagi dipanggil 'belajar'. dan aku memilih kerjaya 'perubatan' ini hanyalah kerana pendapat jiran yang mengatakan bahawa kerja ini banyak duit dan mungkin sedikit pengaruh dari rancangan tv yang menyiarkan drama-drama medik.

dan apakah pilihan aku ini salah? apabila Allah telah mentaqdirkan aku di jalan ini, maka aku di sini. aku belajar erti sebuah 'pembelajaran'. aku belajar bahawa ada ilmu agama tidak sama dengan faham ilmu agama. aku keluar dari kepompong ilmu yang hanya dari buku teks kepada luasnya dan harmoninya ilmu Allah. aku percaya bahawa Allah telah mentaqdirkan yang terbaik untukku. dan aku tidak salah memilih.

dan kenapa aku mengambil kursus perubatan? jika ditanya soalan itu beberapa tahun lalu, mungkin aku akan memberi jawapan skema yang akan diberi oleh kebanyakan yang memilih kerjaya ini. dan pada hari ini, aku boleh dengan pasti akan menjawab, "kerana Allah!"

No comments: