Tuesday, January 24, 2012

Hari#4: Aku dan Mama

Ibu aku bukanlah seorang yang kaya mahupun berpendidikan tinggi. ibu aku hanya anak seorang pesawah yang belajar sampai habis sekolah menengah sahaja. namun begitu, ibuku selalu mengingatkan aku dan adik-adikku tentang pentingnya ilmu. katanya, "biarlah kita tidak kaya harta, kerana ilmu sahajalah harta kita." kerana kata-kata itulah aku berada di sini.

Ibu aku adalah seorang yang amat tegas dalam mendidik anak-anaknya. sejak dari kecil lagi aku dipaksa membaca sedang budak-budak sebayaku masih lagi belajar merangkak. jika aku melakukan kesalahan, ibuku tidak akan teragak-agak untuk menghukumku. dan aku tahu bahawa pukulan itu adalah pukulan kasih sayang. kerana pada malamnya ibuku tidak tidur malam menjagaku. hasil didikan ibu, aku berjaya sehingga ke sini.

Ibu aku seringkali mendoakan kejayaan kami anak-anaknya. setiap kali habis solat, dia akan menadah tangannya berdoa supaya kami berjaya. dan tidak lekang dari mulutnya harapan dan nasihat kepada kami. lalu, dengan berkat doa ibu, aku di sini. aku tidak dapat memikirkan apa-apa sebab yang melayakkan aku di sini melainkan kerana doa ibu aku.

kadangkala aku terfikir, apakah aku mampu untuk membalas semua jasa dan pengorbanan yang telah ibu aku lakukan? apakah aku mampu memberi kasih sayang yang sama seperti kasih sayang yang telah diberi oleh ibuku? apakah aku mampu menjaga ibu aku di saat dia tua seperti dia menjaga aku dan adik-adikku sewaktu kami kecil dahulu? apakah apa yang aku lakukan selama ini melayakkan aku untuk digelar anak soleh?

saya sayang ibu saya. sayang hingga ke syurga.

No comments: