Wednesday, January 25, 2012

Hari#5: Aku dan Abah

ayahku hanyalah manusia biasa, tidak lari dari melakukan kesilapan. kerana itu, tidak perlulah untuk aku berbohong atau mengada-adakan cerita tentang ayahku. aku sayang pada ayahku. kerana itu, tidak perlulah aku menceritakan segalanya dengan detail.

cukuplah jika aku beritahu yang ayah aku pernah melakukan satu kesilapan di masa dahulu. dan kerana satu kesilapan itulah kami terpisah buat satu masa yang agak lama. ya, aku juga pernah mengalami perasaan benci terhadap ayah aku suatu masa dahulu. benci dan marah terhadap apa yang dia telah lakukan kepada kami.

namun, perasaan itu tidak mungkin akan kekal selamanya. perasaan benci itu kini berubah kepada rindu. mungkin kerana semakin aku besar, semakin banyak ilmu yang aku dapat, dan semakin aku cuba memahami ayahku. mungkin kerana semakin aku besar, semakin aku bertambah matang, dan aku cuba melihat dunia seperti yang ayah aku lihat. mungkin kerana semakin aku besar, semakin aku meninggalkan alam kebudak-budakan ke alam dewasa, dan aku cuba melihat memori lalu seperti seorang ayah melihatnya.

mana mungkin kasih sayang yang telah dicurahkan selama berbelas tahun dapat dilenyapkan hanya dengan satu peristiwa. mungkin aku yang terlalu bodoh untuk tidak memahami sesuatu yang seorang budak kecil pun tahu. dan pengalaman aku yang melangkah ke alam dewasa tanpa bimbingan seorang ayah mengajarku bahawa kita tidak akan mampu tanpa si dia di belakang kita. dan jika diizinkan oleh Allah, aku ingin berjumpa semula dengan ayahku sebelum aku menginjak satu lagi anak tangga.

sama seperti sebuah jalan sehala, mustahil untuk aku kembali ke belakang. namun, jika suatu hari nanti situasi yang sama berlaku, dan aku memegang watak sebagai seorang ayah, pasti akan aku tanyakan pada diriku, "apakah yang akan ayah aku lakukan?"

No comments: