Thursday, February 16, 2012

Tentang Anak-anak dan Tarbiyyah

senangkah mendidik anak-anak?

aku tak pernah ada anak, oleh itu aku tidak mungkin dapat memberi gambaran yang tepat. namun, daripada perbualan aku dengan mana-mana yang telah berkahwin dan mempunyai anak, ia bukanlah sesuatu yang mudah. sejak dari bayi itu lahir, sehingga ke alam kanak-kanak, dan kemudian ke alam remaja. sangat lama dan sangat memenatkan. dan apabila anak itu menjadi dewasa, didikan itu tidak akan berhenti selagi masih ada ilmu dan hikmah yang belum dicurah dan selama si ibu atau bapa itu lebih tua dari si anak. itulah kata mereka.

apabila si bayi itu lahir membuka matanya melihat dunia, lihatlah betapa gembiranya si ibu dan bapa. melihat wajah comel si bayi, hilang semua penat lelah si ibu yang mengandung dan si bapa yang terpaksa melayan karenah si ibu yang mengidam sate kajang dan daging rusa. dan apabila si bayi itu mula membuka mulutnya kelaparan, si ibu tidak perlu berfikir dua kali untuk memberikan susu dari badannya. jika dia menangis, si ibu dan ayah tak senang duduk. jika dia buang air, siapa lagi yang membasuhnya. apabila dia ingin tidur, maka didendangkan dengan lagu-lagu yang menenangkan, hingga suara si ayah yang garau pun bertukar lembut.

dan si bayi itu tidak akan kekal menjadi bayi selama-lamanya. usianya akan meningkat dan diapun naik satu anak tangga menjadi kanak-kanak. maka, apabila fizikal si budak itu berubah dengan izin Allah, maka mental dan intelektual dia juga harus dipupuk. maka si ibu dan bapa akan membeli pelbagai jenis buku, dari buku tulisan ke buku lukisan. akan diajar anak itu ABC dan 123. sesetengah keluarga yang punyai duit akan menghantar anaknya ke taska atau tadika. dan kemudian anak itu akan dihantar ke sekolah rendah, diiringi dengan rengekan dan tangisan si anak yang bakal berpisah dari ibu bapanya sekurang-kurangnya 5 jam sehari.

dan apabila di sekolah, maka si anak itu akan terdedah pada persekitarannya yang baru. dia akan bertemu dengan kawan-kawan sepermainan dan belajar ilmu yang memeningkan otak kepala. maka, peranan ibu bapa dalam mendidik mungkin akan berkurang, namun tak pernah terlepas dari tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh Allah melalui fitrah seorang manusia. dan si ibu akan terus bertanya akan apa yang si anak belajar hari itu. dan si ayah, jika dia malu untuk bertanya kepada anaknya secara berdepan, dia akan cuba menyelidik perihal anaknya dari guru-guru, ayah kawan anaknya malah dari tukang kebun sekolah sekalipun. dan sejuta nasihat dicurahkan kepada anaknya tentang tatacara belajar, berkawan dan hidup sebagai seorang yang berjaya.

lalu si anak itupun menginjak ke alam remaja. walaupun dia semakin rapat dengan rakan sebayanya, namun dia masih akan kembali kepada ibu bapanya di malam hari, apabila dia inginkan petunjuk dan nasihat. dan si ibu dan si bapa akan memberikan nasihat dan menyelesaikan masalah si remaja itu walau seremeh atau sesukar mana. dan mereka akan terus membimbing anak remaja itu ke arah masa depan yang mereka atau si anak impikan.

begitulah ringkasan susah payah mendidik seorang anak. dari bayi ke kanak-kanak ke remaja dan akhirnya apabila si anak itu menjadi seorang yang dewasa, tugas si ibu dan bapa itu tidak pernah berhenti. sabar dengan segala cubaan, tidak putus asa dengan karenah si anak. berusaha membimbing ke arah jalan yang cerah, tidak memaksa, tidak pula membiarkan dia tak tentu hala. dan si anak itu akan dididik supaya dari bayi menjadi kanak-kanak, dari kebudak-budakan menjadi remaja dan kemudian dewasa, tidak akan terhenti sekerat jalan.

dan begitu jugalah tarbiyyah. sama seperti mendidik seorang anak dari bayi sehinggalah dewasa. penuh dengan onak duri dan ombak dugaan yang melanda. namun, di sepanjang jalan dan di pengakhirannya, terdapat mutiara kegembiraan dan kepuasan. begitu jugalah tarbiyyah.

No comments: