Monday, February 13, 2012

Tentang Cinta dan Hubungan

saya selalu tertanya-tanya mengapa para remaja hari ini begitu mudah mencurahkan kasih sayang kepada mereka yang tak berhak. jenuh saya memikirkan begitu senang sekali mereka menggadaikan harga diri dan maruah mereka untuk seseorang yang mereka tak begitu kenal. bingung sekali saya apabila melihat anak-anak muda sekarang berasa bangga meletakkan orang yang mereka cinta lebih tinggi dari orang yang mencintai mereka dan yang sepatutnya mereka cintai.


saya bukanlah seorang yang menolak cinta. saya memahami bahawa cinta itu adalah fitrah. seseorang itu bukanlah manusia jika dia tidak punya rasa cinta terhadap sesuatu. kerana cintalah yang mendorong kita melakukan sesuatu. namun, saya memahami kata-kata ustaz saya, "cinta yang halal itu halal dan cinta yang haram itu haram." cinta saya tidak sepatutnya menjahanamkan saya malah sepatutnya sayalah yang perlu membawa rasa cinta saya ke arah syurga.


berbalik kepada persoalan remaja hari ini, saya cuba mencari punca mengapa hal ini berlaku. mungkinkah kerana sesuatu peristiwa yang berlaku sewaktu mereka masih kanak-kanak? kerana pada peringkat ini, proses pembesaran mereka adalah yang paling kritikal dan mudah dipengaruhi oleh persekitaran. apakah sebelum ini mereka diajar bahawa cinta kepada seseorang yang tidak layak itu satu budaya yang patut diamalkan? ataukah mereka tidak mendapat kasih sayang daripada orang yang secara fitrahnya wajib memberi kasih sayang kepada mereka? jika begitu, mereka yang telah mengajar anak-anak ini samada sedar atau tidak perlu bertanggungjawab ke atas kerosakan yang telah mereka lakukan. anak-anak kecil itu bagaikan kain putih yang telah dikotori dan dikoyak rabakkan, dan kalian harus membersihkan dan menjahit kembali agar kain itu kembali berseri.


dan saya juga mengerti, bahawa setiap manusia punya daya untuk berubah. oleh itu, wahai remaja sekalian, sedarlah bahawa sedang kalian mencurahkan kasih sayang kalian yang tak seberapa itu, di sana ada mereka yang lebih mencintai kalian. ingatlah pada ibu bapa anda yang sentiasa ingat akan anda tak kira di mana anda berada. ingatlah pada rasulullah yang tak jemu-jemu memikirkan perihal anda sebagai umatnya. ingatlah pada Allah yang sentiasa memberi makan padamu tatkala kamu melupakannya dan sibuk dengan urusan yang melalaikanmu. cinta mereka padamu itu lebih besar dari cinta kamu dan cinta si dia digabungkan.


kerana cinta itu adalah fitrah seorang manusia. dan cinta itu suci apabila ia lahir dari hati yang suci. oleh itu, kejarlah cinta yang suci untuk dirimu, wahai pemuda!

No comments: