Sunday, May 27, 2012

Di Antara Dua Batalion

alam ini adalah satu medan perang. perang yang telah ada sejak dari kejadian adam lagi. saat takabbur mendiami hati satu makhluk, lalu dia melanggar arahan tuhannya, lantaran mengikut logik sendiri tanpa memikirkan yang lebih dari itu. lantas dia dihukum, dan ditangguhkan hukumannya sehingga ke hari yang pasti. lalu dia melancarkan perang ke atas adam dan anaknya, menggelincirkan kebanyakan manusia kecuali mereka yang Allah kehendaki.

maka peperangan inilah yang menjadi intipati alam ini. perang di antara tentera syaitan dengan tentera Allah. walaupun tidak nampak pada mata kasar, namun perang ini tetap berlaku, setiap masa dan ketika. dan telah jelas termaktub dalam kitab yang mulia, bahawa tentera Allah pasti akan menang manakala tentera syaitan pasti akan kalah. biarpun kini, bagi kebanyakan yang melihat, seolah-olah tentera syaitan itu begitu hebat dan berkuasa, hanya Allah sahajalah pemilik kekuasaan yang hak.

di sebelah kiri, berdirinya tentera-tentera syaitan yang ramai, siap sedia untuk menarik manusia ke jurang kebinasaan. di sebelah kanan pula, tertegaknya tentera-tentera Allah, bilangan mereka sedikit sahaja jika dibandingkan dengan tentera yang satu lagi. dan di antara kedua-dua pasukan ini, berkumpulnya kelompok manusia biasa, bukan dari tentera syaitan mahupun dari tentera Allah. mereka ini lebih ramai lagi dari kedua-dua tentera itu.

sudah menjadi fitrah, manusia itu sukakan kepada kebenaran. manusia itu sukakan kebebasan dan ketenangan. maka, sudah pasti tentera syaitan itu paling susah kerana mereka itu memperjuangkan yang batil padahal yang hak itu menentang segala kebatilan. maka mereka telah bersusah payah menipu orang ramai, mengatakan bahawa yang hak itu batil dan yang batil itu hak. namun, mereka tidak mampu menipu mereka yang dikehendaki oleh Allah.

maka, tugas tentera Allah adalah untuk menegakkan yang hak dan menumbangkan yang batil. menjelaskan bahawa yang hak itu hak, dan yang batil itu batil. di kala manusia tenggelam dalam kekeliruan, tidak tahu yang mana hak dan yang mana batil, maka tentera Allah inilah yang akan menarik manusia ke arah cahaya yang jelas. tugas ini tidak akan ada henti dan tidak akan ada cuti, kerana perang ini tidak akan berhenti sehinggalah ke satu masa yang pasti.

No comments: